Petanda Mata Merah
MATA merah atau kemerahan merupakan antara masalah yang sering kali berlaku sehingga menjejaskan keselesaan mata dan ketajaman penglihatan.
Selalunya kita akan mula risau apabila mata mula mengalami masalah sama ada kerap berair, menjadi kabur atau sakit.
Selalunya kita akan mula risau apabila mata mula mengalami masalah sama ada kerap berair, menjadi kabur atau sakit.
Sebenarnya gejala-gejala sedemikian dapat memberi amaran terdapat masalah atau sesuatu yang tidak kena pada mata, dan kita harus mengambil tindakan sewajarnya.
Oleh itu, penting bagi seseorang mengetahui serba sedikit bila mereka menghadapi situasi sebegini.
Kita perlu tahu sama ada terdapat keperluan untuk mengambil tindakan segera atau masih boleh menunggu beberapa hari sebelum mendapatkan nasihat dan rawatan doktor mata.
Mata kita membabitkan kelopak mata dan biji mata. Jika sesuatu berlaku pada kelopak mata, ia biasanya tidak menyebabkan kebutaan.
Penyebab kemerahan mata yang paling biasa berlaku ialah penyakit alahan, di mana pesakit mengalami gejala seperti berasa gatal pada mata dan mata sering berair.
Bagaimanapun, penglihatan tidak terganggu dan ia dapat dirawat dengan ubat titis. Bagi kanak-kanak, selain berdepan masalah mata, mereka juga sering mengalami alahan dan penyakit lelah.
Penyakit kelopak mata yang boleh menyebabkan mata merah pada kanak-kanak adalah ketumbit. Satu lagi penyebab penyakit mata yang sering berlaku ialah konjuntivitis.
Gejala yang dialami pesakit juga sangat jelas, iaitu mata menjadi merah, berair, merasa silau dan ada banyak tahi mata.
Penyakit membabitkan biji mata mungkin mengganggu penglihatan apabila berlaku perubahan pada struktur mata. Tahap penyakit ini bagaimanapun hanya dapat dikesan pakar mata.
Masalah biasa
Banyak faktor yang boleh menyebabkan mata seseorang menjadi merah. Faktor ini boleh dibahagikan kepada penyebab yang berbahaya atau yang tidak membahayakan.
Penyebab yang tidak bahaya ialah konjuntivitis, iaitu keradangan pada lapisan konjuntiva tetapi tidak membabitkan struktur penting mata seperti kornea.
Lapisan konjuntiva merangkumi mukus lembut yang menutup bahagian depan mata dan bahagian dalam kelopak mata.
Penyebab yang berbahaya pula melibatkan glaukoma, uveitis dan jangkitan kuman pada kornea yang dipanggil ulser kornea.
Glaukoma akut berlaku kerana peningkatan tekanan dalam mata secara mendadak sehingga menyebabkan kemerahan mata dan kesakitan yang amat sangat.
Pesakit memerlukan rawatan segera kerana jika tidak, akan berlaku kerosakan saraf optik yang boleh menyebabkan kebutaan.
Jika lewat menerima rawatan untuk glaukoma akut, besar kemungkinan akan menyebabkan kerosakan pada struktur di dalam mata dan saraf mata yang akhirnya akan membawa kepada kebutaan.
Untuk ulser kornea pula, penggunaan kanta lekap menjadi antara punca utamanya. Risiko ulser ini meningkat lebih tinggi jika pemakai tidak mengamalkan penjagaan dan kebersihan kanta dan bekas simpanannya seperti yang disarankan.
Ulser kornea juga boleh disebabkan jangkitan kuman pada mata seorang pemakai kanta lekap yang masih terus memakai kanta lekap, walaupun selepas matanya menjadi merah.
Rawatan ulser kornea melibatkan pengambilan ubat titis antibiotik yang diberi doktor mata dan harus digunakan setiap satu hingga dua jam.
Pesakit yang mengalami gejala teruk harus mendapatkan rawatan di dalam wad untuk pemantauan rapi.
Terdapat juga pesakit dengan ulser kornea yang teruk kerana lambat mendapat rawatan dan hanya menggunakan ubat mata yang dibeli sendiri dari kedai.
Pesakit sebegini mungkin hanya berjumpa doktor apabila mengalami sakit yang amat sangat.
Pesakit dengan uveitis akut biasanya mengalami rembesan bahan radang pada mata yang seterusnya menimbulkan kesakitan pada mata.
Penyakit tibi juga boleh menyerang mata dan selalunya menjadi lebih teruk jika tidak dikesan dan diberi rawatan awal.
Gejala dan rawatan
Dua gejala penting harus diberi perhatian, iaitu:
*Gangguan penglihatan
*Kesakitan pada mata
Jika dua gejala ini berlaku, pesakit harus segera berjumpa doktor mata. Seorang pesakit yang mengalami masalah mata merah turut berasa sakit dan juga kekaburan penglihatan.
Selepas dirujuk kepada pakar mata, pesakit tersebut didapati menghidap skleritis atau radang pada lapisan luar mata (sklera). Kesakitan itu dapat disembuhkan dengan rawatan yang bersesuaian.
Doktor kebiasaannya akan memeriksa ketajaman penglihatan dan memeriksa keadaan mata pesakit sebelum menentukan penyebab mata merah.
Para doktor harus bertanya dua soalan kepada pesakit yang mengalami mata merah iaitu:
*Adakah mata pesakit berasa sakit?
*Adakah penglihatan mereka terganggu?
Jika pesakit menjawab ya bagi kedua-dua soalan, dia perlu dirujuk kepada pakar mata dengan segera.
Jika tidak, besar kemungkinan pesakit menjadi buta jika masalah mata merah berpunca daripada penyebab berbahaya seperti jangkitan kuman.
Jangkitan kuman pada mata bukan sahaja menyebabkan mata pesakit menjadi merah, malahan berasa sangat sakit dan mungkin juga muntah.
Pengguna kanta lekap mungkin mengalami masalah mata merah akibat daripada jangkitan kuman pada lapisan kornea mata (ulser kornea).
Justeru, mata akan menjadi merah dan sakit. Jika tidak dirawat segera, pesakit berkemungkinan akan menjadi buta.
Ulser kornea akibat jangkitan kuman mudah berlaku jika seorang pemakai kanta lekap tidak menjaga kebersihan mata dan kanta lekap, serta tidur tanpa menanggalkannya.
Perkara pertama dan paling penting jika pemakai kanta lekap mengalami mata merah ialah untuk tidak memakai kanta lekap berkenaan.
Sebaliknya, bawa kanta tersebut bersama bekas simpanannya terus kepada doktor mata.
Doktor akan memeriksa bekas kanta lekap itu untuk memastikan sama ada ia mengandungi kuman.
Rawatan segera untuk masalah mata merah dapat mengenalpasti tahap bahaya terhadap penglihatan pesakit, seterusnya mencegah kebutaan.
No comments:
Post a Comment