Peliharalah Kesihatan Mata
1. Apakah faktor yang mempengaruhi kesihatan mata seseorang?
Terdapat dua faktor utama iaitu faktor genetik dan faktor alam sekeliling dan tabiat pemakanan dan merokok seseorang.
Faktor genetik menentukan samaada seseorang itu mengalami rabun, katarak pada umur awal, degenerasi macula dan penyakit mata lain, manakala tabiat merokok banyak mempengaruhi kesihatan mata
2. Bagaimana kah cara terbaik untuk menjaga kesihatan mata dan mencegah kebutaan ketika umur meningkat?
Cara terbaik adalah dengan menjaga pemakanan dengan banyak memakan ikan dan sayuran serta makanan kesihatan dan mengelakkan merokok sejak usia muda. Seperkara lagi bagi mereka yang berumur 40 tahun keatas harus menjalani pemeriksaan mata secara berkala oleh pakar mata untuk mengesan penyakit mata merbahaya yang mungkin tidak mempunyai gejala seperti kekaburan.
3. Apakah peringkat umur yang harus menjalani pemeriksaan secara berkala oleh pakar mata?
Mereka yang sihat tubuh badan dan berumur kurang dari 40 tahun harus menjalani pemeriksaan mata setiap dua tahun dan setelah berumur 40 tahun harus menjalani pemeriksaan setiap tahun. Jika seseorang mengidap kencing manis atau darah tinggi harus menjalani pemeriksaan setiap tahun walau pun berumur kurang dari 40 tahun.
4. Kenapa mereka yang berumur 40 tahun keatas harus menjalani pemeriksaan mata setiap tahun?
Apabila anda berumur 40 tahun risiko untuk mendapat penyakit mata meningkat. Penyakit mata yang merbahaya yang mungkin menyebabkan kebutaan ialah glaukoma, degenerasi macula, katarak dan semua penyakit ini tidak mempunyai gejala pada peringkat awal dan hanya dapat dikesan oleh pakar mata. Pemeriksaan mata juga mungkin mengesan penyakit kencing manis dan darah tinggi disebabkan perubahan pada salur darah mata dalam keadaan ini.
5. Apakah risiko untuk seseorang berumur lebih 40 tahun mengalami masaalah gangguan penglihatan?
Statisitik menunjukkan sebanyak satu pertiga mereka yang berumur 40 tahun keatas mengalami masaalah mata. Pakar mata harus mengesan penyakit mata sebelum berlaku kebutaan yang kekal. Adalah tidak bijak untuk menunggu sehingga ada masaalah sebelum menjalani pemeriksaan mata.
6. Apakah yang dilakukan ketika pemeriksaan mata oleh pakar mata?
Pemeriksaan mata sepenuhnya mengambil masa 30 minit dimana sejarah kesihatan anda dan keluarga anda di teliti. Pemeriksaan mata anda secara menyeluruh dilakukan menggunakan berbagai alat untuk menentukan struktur mata anda sihat. Tekanan mata juga diperiksa untuk menetukan anda tidak mengidap glaucoma. Gambar retina anda akan diambil untuk dokumentasi dan sebagai rekod status saraf mata dan retina anda.
Otot mata anda juga diperiksa untuk menentukan mereka bergerak dengan sempurna. Refraksi dilakukan untuk menentukan keperluan anda untuk memakai cermin mata dan adakah cermin mata yang digunakan sesuai.
Setelah pemeriksan dilakukan pakar mata akan menerangkan kepada anda status mata anda dan memberi nasihat yang perlu untuk menjaga kesihatan mata anda.
7. Apakah pengalaman doktor dengan mereka yang merokok dan kesihatan mata?
Saya sering berjumpa pesakit selalunya lelaki yang berumur kurang dari 40 tahun yang merupakan perokok tegar yang mengidap katarak pada kedua belah mata. Juga terdapat kalangan perokok yang mengalami degenerasi makula yang menyebabkan kebutaan kedua belah mata pada peringkat umur melebihi 65 tahun. Mereka selalunya menyesal tetapi keadaan mata telah teruk dan mereka menjadi buta untuk selamanya dan rawatan yang mahal hanya dapat memulihkan sedikit sahaja penglihatan mereka.
7. Apakah pengalaman doktor dengan mereka yang lambat berjumpa pakar mata?
Terdapat pesakit yang datang lewat setelah mereka benar benar tidak dapat melihat lagi. Ini sering berlaku kepada pesakit kencing manis dan mereka menjadi buta dengan cepat dan walau pun dirawat penglihatan hanya dapat dipulihkan dengan sedikit sahaja.
Semua warga melebihi 40 tahun harus menjalani pemeriksaan mata secara berkala oleh pakar mata untuk mengesan masaalah pada peringkat awal dan mencegah kebutaan.
Jika keluarga anda mengalami masaalah mata, kencing manis, penyakit serius atau pun memakan ubat yang mungkin mempunayi kesan keatas mata and harus menjalani pemeriksaan mata yang sepenuhnya.