Monday, June 8, 2009




Buta Kerana Glaukoma


ANTARA masalah mata yang kerap berlaku kepada individu berumur ialah glaukoma. Glaukoma ialah penyakit mata yang menyebabkan tekanan mata meningkat dengan tinggi dan mengakibatkan kerosakan pada saraf mata. Glaukoma yang tidak dirawat akan menyebabkan kebutaan.


Glaukoma dibahagi kepada dua jenis, iaitu glaukoma akut dan kronik.

* Glaukoma akut - Menyebabkan kesakitan yang amat sangat dan boleh membawa kepada kehilangan penglihatan. Untuk mengelak masalah ini, glaukoma perlu dirawat segera sebaik dikesan.


* Glaukoma kronik - Berbeza dengan glaukoma akut, jenis ini tidakmenyebabkan rasa sakit, tetapi boleh menyebabkan kebutaan secara perlahan-lahan. Biasanya glaukoma kronik berlaku kepada golongan berumur 50 tahun ke atas.


Pesakit ini mengalami kekaburan mata secara perlahan-lahan dan sering menukar cermin mata membaca, tetapi masih tidak dapat melihat dengan jelas. Pemeriksaan mata menunjukkan tekanan matanya tinggi dan medan penglihatannya terganggu. Ini disebabkan tekanan mata tinggi yang merosakkan sebahagian saraf optik.


Apakah gejala glaukoma?
Gejala dialami pesakit glaukoma akut ialah kemerahan pada mata. Glaukoma akut senang dikesan kerana rasa sakit yang amat sangat, selain mata menjadi merah. Manakala glaukoma kronik pula selalunya berlaku tanpa dikesan kerana ia tiada tanda jelas. Kadangkala penglihatan pesakit menjadi kabur. Pesakit selalunya kerap menukar cermin mata untuk membaca, tetapi masih berasa tidak selesa.


Bagaimana glaukoma menyebabkan kebutaan?
Tekanan mata yang tinggi menyebabkan tekanan pada saraf optik di dalam mata. Ini mengakibatkan gangguan kepada peredaran darah ke saraf optik. Saraf optik penting untuk menyampaikan cahaya yang diserap mata ke otak untuk membolehkan manusia melihat. Oleh itu, jika saraf mata rosak, pesakit glaukoma mengalami kebutaan.


Siapa mudah dihidapi glaukoma?
Lazimnya glaukoma mudah dihidapi golongan berumur lebih 45 tahun. Bagaimanapun, glaukoma juga boleh berlaku pada golongan muda, terutamayang ada sejarah keluarga menghidap penyakit glaukoma.


Bolehkah kanak-kanak menghidapi glaukoma?
Glaukoma boleh berlaku di kalangan kanak-kanak, termasuk bayi baru lahir. Namun, penyakit ini biasanya berlaku selepas kanak-kanak berumur beberapa tahun.


Adakah faktor keturunan mempengaruhi glaukoma?
Ya, glaukoma berkait rapat dengan faktor keturunan. Jika ahli keluarga pernah menghidap glaukoma jenis kronik, ahli keluarga lain harus disaring lebih awal.


Apakah gejala glaukoma di kalangan kanak-kanak?
Bagi bayi baru lahir, wujud lapisan kornea atau mata hitam yang tidakjernih seperti mata bayi biasa.Saiz mata juga membesar kerana tekanan mata meningkat di dalam mata yang membesar.
Kanak-kanak berumur beberapa tahun pula mengalami silau dan kadangkala membenamkan muka ke bantal untuk mengelak mata terkena cahaya.


Apakah rawatan untuk glaukoma kronik?
Glaukoma boleh dirawat dengan pelbagai jenis ubat titis yang mudah digunakan dan mempunyai kesan sampingan minimum. Jika tekanan mata tidak dapat dipulihkan dengan ubat titis, pembedahan harus dilakukan.
(END)

No comments:

Post a Comment