Monday, June 8, 2009


Rawat Segera Kanser



RETINOBLASTOMA adalah kanser mata kanak-kanak yang boleh berlaku pada bila-bila masa bermula dari dalam kandungan (biasanya ketika lahir) hinggalah berumur lapan tahun. Ia adalah kanser malignan pada retina mata. Kanser malignan bermakna ia berbahaya dan boleh merebak sama ada ke mata sebelah lagi atau ke organ badan yang lain. Kanser mata ini boleh berlaku pada sebelah atau menyerang kedua-dua belah mata.


Sehingga kini punca sebenar retinoblastoma tidak diketahui dengan tepat kerana ia boleh berlaku secara spontan atau disebabkan faktor keturunan. Retinoblastoma boleh dianggap kanser yang jarang berlaku dan di seluruh dunia kadar kelaziman kanser ini hanyalah tiga peratus daripada jumlah semua jenis kanser kanak-kanak. Kanser ini bermula di retina iaitu bahagian mata yang sensitif pada cahaya dan membolehkan kita melihat.


Apabila ia berlaku pada sebelah mata, ia dipanggil retinoblastoma unilateral dan jika membabitkan kedua-dua belah mata, ia dinamakan retinoblastoma bilateral.


Hampir 60 peratus kes retinoblastoma menyerang sebelah mata dan kajian mendapati lebih 90 peratus kes di dapati tidak mempunyai sejarah keluarga pernah mengalami penyakit ini.


Apa gejala atau tanda retinoblastoma?
Gejala yang mungkin boleh dialami pesakit kanak-kanak ialah:


* Juling
* Penglihatan terganggu
* Mata menjadi merah
* Mata berair
* Ada silau berwarna keputihan pada mata hitam; yang boleh dilihat dalam cahaya malap


Semua gejala yang disenaraikan di atas biasanya berlarutan melebihi sebulan. Bagaimanapun ada juga kes di mana pesakit tidak mengalami sebarang gejala.


Dalam sesetengah kes, ibu bapa mendapati perubahan pada mata hitam anak yang menjadi putih dan tidak hitam seperti biasa. Dalam kes lain ibu bapa hanya menyedari perubahan pada mata anak mereka melalui gambar iaitu mata hitam kelihatan putih atau berkilau. Retinoblastoma adalah penyakit yang berbahaya dan pesakit berisiko kehilangan penglihatan jika tidak dirawat segera.


Malah sel kanser dari retina ini boleh merebak ke organ badan yang lain seperti soket mata dan otak melalui saraf optik.


Apa rawatan untuk kanser mata?
Rawatan bergantung kepada tahap perkembangan kanser. Jika ia dikesan pada peringkat awal pesakit boleh diberikan rawatan cryotherapy tetapi jika sel kanser sudah agak besar, biji mata terpaksa dibedah dan dikeluarkan untuk menyelamatkan nyawa pesakit.


Dalam kebanyakan kes, kanser mata dapat dirawat dan disembuhkan. Bagaimanapun rawatan ini mungkin agresif dan doktor perlu mengeluarkan mata yang diserang. Namun pesakit masih boleh melihat dengan mata yang sihat dan untuk tujuan kosmetik, mereka boleh memakai mata palsu.


Apa pengalaman doktor merawat kes kanser mata?

Kes pertama: Kanak-kanak berumur lima tahun. Selepas pengesahan kanak-kanak ini menghidap retinoblastoma, pakar mata menasihatkan ibu bapa supaya anak menjalani pembedahan tetapi malangnya mereka tidak bersetuju. Sebaliknya mereka membawa anak mendapatkan rawatan tradisional.


Selepas enam bulan mereka datang balik berjumpa pakar mata. Tetapi keadaan pesakit sangat menyedihkan kerana dia menjadi kurus kering dan matanya tertonjol keluar. Lebih malang, kanak-kanak itu sudah buta dan matanya terasa sangat sakit. Dua minggu kemudian, pesakit meninggal dunia.


Kes kedua: Kanak-kanak menjadi juling disebabkan kanser mata tetapi ibu bapanya masih tidak membawa anak berjumpa pakar mata.


Selepas beberapa bulan, apabila keadaan menjadi semakin teruk barulah mereka datang ke hospital tetapi ketika itu sudah terlambat kerana mata pesakit tidak dapat diselamatkan lagi. Pesakit menjadi buta.


Nasihat doktor: Jika ibu bapa mengesan sebarang perubahan pada mata anak, segera bawa anak berjumpa pakar mata.


Jangan tunggu hingga gejala melarat dan mengganggu penglihatan anak. Banyakkan berdoa untuk kesihatan anak dan bersyukur apabila anak sihat walaupun mereka mungkin nakal sedikit.
(END)

1 comment:

  1. salam doktor saya nak tnya pasal mata saya kedua-dua mata saya bila melihat ada nampak ttik hitam tompok atau jalur hitam terutama di tempat terang kalau gelap tiad amasalah ah jumpa pakar mata dia kata normal sbb umur semakin meningkat umur saya 37 thn apa sebenrnya prob mata saya tlglah saya doktor

    ReplyDelete

Google Calendar Viewer