Wednesday, June 3, 2009

Katarak Kerana Proses Penuaan

KATARAK adalah masalah mata yang sangat biasa berlaku pada orang tua. Katarak ialah keadaan kanta mata yang hilang kejernihannya. Lazimnya masalah ini berlaku disebabkan proses penuaan.



Apa gejala katarak?

Pesakit akan mengalami kekaburan penglihatan dan silau apabila menghadapi cahaya. Kekaburan penglihatan ini berlaku secara perlahan-lahan dan pesakit berasa seolah-olah ada asap atau kabus di depan mata. Lama kelamaan penglihatan menjadi kabur dan jika tidak
dirawat mereka boleh menjadi buta.


Apa sebab katarak?
Katarak berkait rapat dengan proses penuaan, namun ada juga bayi baru lahir mengalami masalah ini. Ia dipanggil katarak kongenital. Selain itu,katarak yang berlaku disebabkan trauma, terutama apabila mata seseorang itu menerima hentakan atau tumbukan.


Bolehkah katarak dirawat?
Ya. Rawatannya mudah kerana pada peringkat awal cermin mata boleh membantu mengembalikan penglihatan, namun apabila katarak mengganggu penglihatan, pembedahan perlu dilakukan. Kanta yang hilang kejernihan itu dikeluarkan dan diganti dengan kanta tiruan yang dibuat daripada plastik.


Bagaimana pembedahan katarak dilakukan?
Pembedahan dibuat dengan melakukan bius setempat. Pesakit masih sedar ketika pembedahan dilakukan. Kaedah ini biasanya dilakukan pada pesakit tua. Bagi pesakit kanak-kanak dan muda, bius am diberi dan pesakit akan tidur ketika pembedahan. Mereka tidak berasa apa-apa dan biasanya pembedahan mengambil masa 20 hingga 40 minit.


Bilakah masa sesuai untuk melakukan pembedahan?
Ia bergantung kepada keadaan pesakit. Bukan semua katarak, terutama pada peringkat awal, perlu dibedah. Pembedahan hanya perlu jika katarak mengganggu penglihatan dan menjejaskan aktiviti harian seseorang.


Perlukah kita menunggu katarak menjadi matang sebelum dibedah?
Tidak. Ini adalah konsep rawatan yang diamalkan 50 tahun lalu ketika teknik pembedahan dilakukan tanpa bantuan mikroskop dan mesin canggih.Kini kanta yang tiada katarak pun boleh dibedah untuk merawat rabun jauh yang teruk. Jadi pembedahan ini boleh dilakukan pada bila-bila masa yang difikirkan perlu.


Bila pesakit boleh mula bekerja selepas pembedahan?
Jangka masa pemulihan biasanya selama sebulan, terutama bagi pembedahan yang memerlukan jahitan. Ini adalah kaedah untuk katarak yang matang.Namun, kini ada kaedah rawatan yang tidak memerlukan jahitan dipanggil fakoemulsifikasi. Melalui kaedah ini, katarak dihancurkan dan `disedut' keluar menggunakan alat khas yang halus. Jadi luka pada mata adalah kecil dan lebih cepat sembuh. Pesakit biasanya boleh mula bekerja selepas dua
minggu menjalani rawatan.


Adakah katarak akan berulang?
Ya. Bagi sesetengah pesakit, lapisan kulit katarak akan menebal dan menyebabkan kekaburan yang hanya dapat dirawat menggunakan rawatan laser. Rawatan laser sungguh mudah, selamat, cepat dan tidak perlukan pembedahan.
(END)

No comments:

Post a Comment